Fuh Gempak Player

14 Apr 2014

Pandu Uji: Ninja 1000 kekal maskulin

Ketika membuat liputan di Pameran Auto Tokyo pada penghujung tahun lalu, penulis tidak terlepas peluang mengunjungi ruang jenama motosikal Kawasaki yang memperkenalkan beberapa model terkini mereka.
Kelibat Kawasaki Ninja 1000 dan Z1000 dengan wajah baru ternyata mempesonakan serta garang sehingga penulis tertanya-tanya bila model itu akan menjejakkan kaki di Malaysia. 
Rupa-rupanya, Kawasaki Motors Malaysia selaku pengedar motosikal itu di negara ini merancang membawa masuk kedua-dua model berkenaan selang beberapa bulan sesi pengenalan di negara asalnya. 

Ini membuktikan penguasaan pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan mempunyai permintaan tinggi selepas menjadi budaya baru kepada kaki ‘bikers’ Malaysia.
Foto
TANGKI mampu menampung19 liter petrol.

Fenomena itu turut memberi bahang kepada penulis menguji satu daripada jentera itu menerusi Kawasaki Ninja 1000 yang dikategorikan sebagai motosikal ‘Sport Touring’, di mana ia sesuai untuk tunggangan jarak jauh.
Biarpun mengekalkan imej maskulin, ia masih mengekalkan piawaian untuk tunggangan jauh apabila reka bentuknya lebih aerodinamik bagi mengurangkan rintangan angin, selain padanan ‘fairing’ yang mampu melindungi kaki daripada bahang enjin. 

Menariknya jentera ini berbanding Kawasaki Z1000 adalah gaya tunggangannya yang sangat ‘relaks’, terutama posisi kedudukan serta tempat pemegang pendikit. 

Adanya penghadang angin turut memberi keselesaan kerana melindungi bahagian dada, sekali gus memberi keyakinan ketika menunggang pada kelajuan tinggi. 

Malah, penghadang angin itu boleh diubah kedudukannya menggunakan tangan bagi kesesuaian gaya tunggangan sama ada mahu membongkok atau menegak. 

Pembaharuan dilakukan memberi nafas baru kepada gaya tunggangannya apabila dilengkapi tiga mod Kawalan Tarikan Kawasaki (KTRC). 

Bagi pilihan Mod Satu dan Dua, sistem itu memberi cengkaman berpatutan ketika memecut, manakala Mod Tiga sesuai untuk permukaan jalan licin. 

Bagi memilih tahap bersesuaian, penulis perlu menekan butang pilihan di bahagian kiri pemegang dan boleh dilakukan sambil bergerak tetapi ketika kelajuan minimum. Ia juga dilengkapi dua pilihan kuasa, sama ada penuh (F) atau rendah (L) yang hanya mengeluarkan 70 peratus kuasa. 

Bagi penulis yang baru mengenali dunia motosikal berkuasa tinggi, pilihan kuasa L adalah bersesuaian bagi permulaan tunggangan sebelum menukar kepada F. Kuasa penuh dibekalkan sungguh mantap, malah penulis rasa yakin untuk menunggangnya pada kelajuan tinggi. 

Pada mulanya, perasaan takut menyelubungi penulis tetapi selepas 10 minit menunggang, ia terus hilang sehingga mampu memulas pendikit untuk memecut sehingga 180 kilometer sejam (km/j). 

‘Jantung’ yang menggerakkan jentera ini sebenarnya berkongsi dengan Kawasaki Z1000, di mana ia menggunakan enjin DOHC bersesaran 1,043 cc penyejuk cecair dengan menyalurkan kuasa maksimum sehingga 142 PS. 

Bagaimanapun, sistem transmisi ditala semula dengan keadaan nisbah gear terakhir agar sesuai keperluan tunggangan sport atau kembara jarak pendek. 

Kadar nisbah gear keenam menggunakan 31/28 didapati lebih panjang dan memberi keselesaan apabila menunggang di kawasan lebuh raya, selain menghasilkan jentera bertindak secara responsif. 

Aspek pengendaliannya yang mantap dan selesa sebenarnya berpunca daripada kerangka aluminium regangan tinggi bagi memberi gaya tunggangan lebih stabil serta tepat ketika mengambil selekoh. 

Malah, Kawasaki Ninja 1000 didatangkan dengan pelaras bebanan yang boleh menggunakan tangan, di mana ia terletak di bahagian bawah tempat duduk untuk menyesuaikan gaya tunggangan dan beban dibawa. 

Bagi model baru ini, kotak meletak barang kapasiti 28 liter hadir dengan rekaan terbaru yang lebih kemas dan bersih, tetapi ia dijual secara berasingan. Jika tidak mahu menggunakannya, ia boleh ditanggalkan dengan mudah. 

Tugas memberhentikan jentera itu pula menggunakan set brek cakera dengan angkup monoblok Tokico bagi menyalurkan tindak balas pantas sebaik menarik atau menekan breknya. Ia juga didatangkan bersama teknologi sistem brek antikunci (ABS). 

Bagi mereka yang mahu ‘berjinak-jinak’ dengan motosikal berkuasa tinggi, jentera ini mungkin pilihan ideal kerana mudah ditunggang selain sesuai untuk kegunaan harian atau tunggangan jarak jauh. 


SPESIFIKASI KAWASAKI NINJA 1000 

ENJIN: 1,043 cc, DOHC dan 16 injap 
KUASA MAKSIMUM: 142 PS pada 10,000 rpm 
TORK MAKSIMUM: 111 Nm pada 7,300 rpm 
TRANSMISI: Enam kelajuan manual dan ‘wet multi-disc’ 
KERANGKA: Tiub-berkembar aluminium 
TANGKI PETROL: 19 liter 
HARGA: RM82,900 (tanpa kotak barangan), RM87,900 (dengan kotak barangan)

No comments:

Post a Comment