Fuh Gempak Player

10 Apr 2014

Pelakon atau akauntan

Usianya baru 17 tahun, namun pembabitan dalam bidang lakonan sejak berusia 11 tahun membuatkan pelakon Ezzrin Loy begitu petah berbicara setiap kali diwawancara, malah setiap kali soalan diajukan dia tidak henti bercerita.
Mengakui pengalaman yang ada mematang­kan dirinya, adik bongsu daripada empat beradik ini bijak mengatur masa depan. 
Jarang mengambil tawaran berlakon, pemilik nama penuh Ahmad Ezzrin Loy Ahmad Sabri ini bakal sibuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Mengambil inspirasi daripada kedua-dua kakaknya yang juga pelakon, Elfira Loy dan Ezlisa Loy, Ezzrin berharap dia juga akan berjaya seperti mereka.
Foto
EZZRIN mahu fokus dalam bidang yang menjamin masa depan.

“Saya mahu berjaya dalam apa juga perkara yang saya lakukan. Walaupun tidak berharap untuk fokus dalam bidang lakonan jika satu hari ia menjadi kerjaya tetap, saya mahu segala-galanya berjalan dengan lancar.

“Saya terbabit dalam lakonan sekadar suka-suka selepas melihat kakak mula aktif dan seronok melihat mereka beraksi.

“Untuk sementara waktu ini, saya memang tidak mengambil sebarang tawaran berlakon lagi kerana mahu fokus dalam pelajaran di samping menghadiri kelas tambahan sebagai bekalan tambahan untuk menduduki SPM nanti,” katanya.

Menyimpan impian untuk berjaya dalam pelajaran, Ezzrin mengakui suka memberi tumpuan pada sesuatu perkara yang diyakini menjamin masa depan dan mendatangkan wang.

Justeru, dia akan membuat segala keputusan sama ada mahu fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan atau pun melakukan pekerjaan lain.

“Bidang lakonan ada pasang surutnya dan saya tidak tahu rezeki saya mampu pergi sehingga ke mana dalam bidang ini. Bagi saya pelajaran sangat penting untuk menentukan masa depan kelak.

“Jika rezeki saya dalam lakonan saya akan terus memberi sepenuh perhatian, tetapi semua ini susah dijangka dan jika bukan rezeki dalam bidang seni saya akan bekerja seperti orang lain,” katanya.

Ezzrin berkata, setakat ini minatnya lebih kepada bidang perakaunan.

“Saya suka sesuatu perkara yang boleh dibaca dan mudah difahami dan akauntan adalah perkara yang seumpama itu.

“Saya berharap dapat merealisasikan salah satu perkara ini dan memberi fokus kepadanya sama ada kerjaya sebagai pelakon atau akauntan,” katanya.


Pilih watak sesuai

Berbicara mengenai watak lakonan, Ezzrin mengakui mula menjadi seorang yang memilih.

Ini kerana pengalaman lebih enam tahun dalam lakonan mematangkan dirinya untuk mendapat watak yang terbaik.

“Apabila sudah lama berlakon, rasanya perlu bagi seseorang pelakon memilih watak. Bukan kerana ‘demand’, tetapi biarlah watak dilakonkan memberi kesan bukan saja kepada diri sendiri, malah penonton juga terpukau sama.

“Pada saya bukan mudah menarik perhatian penonton, apatah lagi kehadiran ramai pelakon baru memberi persai­ngan sengit. Justeru, saya mahukan yang terbaik dalam setiap watak yang saya jayakan,

“Biarlah hanya sekali sekala saya muncul di televisyen asalkan penonton ingat watak yang saya lakonkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment