Fuh Gempak Player

15 May 2014

Kekasih tidak cemburu

Watak Tengku Adam Kamil dijayakan pelakon keturunan India-Cina, Keith Foo dalam drama bersiri popular Ariana Rose membuatkan namanya jadi sebutan akhir-akhir ini.
Sebut saja namanya, pengaruh Keith kini lebih besar berbanding Aaron Aziz atau Adi Putra yang satu ketika dulu pernah melalui fenomena sama. 
Kebanyakan produksi mahu mendapatkan khidmatnya hing­ga ada yang berebut-rebut dek populariti yang mencanak naik hingga timbul isu Keith mula letak harga tinggi untuk berlakon dalam telefilem. 

Keith didakwa jual mahal dan memilih produksi tertentu saja untuk bekerjasama.
Foto
Walaupun isu bayaran mahal itu sudah dijawab Keith, pelakon itu akui ia perkara yang perlu dilalui saat namanya masih disebut-sebut.
“Jujurnya, saya sangat bersyukur kerana sejak ambil keputusan balik ke Malaysia, banyak tawaran datang hinggakan saya terpaksa tolak tawaran filem dan sinetron dari Indonesia kerana mahu fokus di sini. 

“Walaupun tawaran semakin banyak, ia tidak menjadikan saya lupa diri. Sebaliknya, kalau boleh, saya mahu bekerja dengan semua produksi tempatan dan luar negara. 

“Contohnya, selepas tamat penggambaran Puteri Kelip-kelip, saya akan terbang ke Bali, Indonesia untuk menjalani penggambaran drama bersiri Kasih Berbisik. 

“Balik dari sana, saya ke Singapura pula untuk penggambaran telefilem,” katanya ketika ditemui di lokasi Puteri Kelip-kelip di Tanjung Karang, Selangor. 

Selain didakwa letak harga tinggi untuk berlakon, Keith berdepan sesetengah peminat yang terlalu taksub sehingga percaya Keith bangsa Melayu beragama Islam. 

Apatah lagi ada peminat bergaduh sesama sendiri di laman sosial dan blog tempatan yang menegur pelakon itu tidak sensitif de­ngan isu budaya dan agama. 

Antara isu diperkatakan, bertatu tetapi memakai baju Melayu atau gambar mesra bersama anjing atau kekasihnya, Kim Raymond yang dimuat naik gambar di laman sosial Instagram. 

Keith akui belum pernah berdepan situasi peminat seperti itu. Katanya, dia sangat menghormati sensitiviti berkaitan budaya dan agama dianuti peminatnya. 

“Walaupun kebanyakan peminat saya Melayu, saya cuba melakukan yang terbaik supaya tidak timbul isu besar di kemudian hari. 

“Kalau boleh, saya ingin bertemu dan bersalaman dengan semua peminat kerana tanpa mereka, saya tidak mungkin berada di tempat ini. 

“Ke mana-mana saya pergi, peminat memanggil Tengku Adam Kamil dan jujurnya ia satu penghormatan kerana saya berjaya membawa watak saya hingga dikenali ramai. 

“Saya akan merasakan diri saya gagal jika orang tidak kenal watak yang saya lakonkan kerana ia bermakna lakonan saya tidak berjaya,” katanya merendah diri. 

Mengenai reaksi kekasihnya apabila peminatnya kini makin bertambah, Keith berkata, Kim lebih banyak ketawa berbanding merasa cemburu dengan kerenah peminat yang mahu bergambar bersama. 

“Kim tidak pernah cemburu, sebaliknya akan ketawa dan memberi ruang kepada saya untuk bersama peminat. Seandai­nya keadaan semakin ‘sibuk’, Kim selalunya pergi ke sudut lain dan melakukan aktiviti sendiri. 

“Bukan dia merajuk tetapi dia faham situasi saya yang ketika itu bersama peminat. Baginya, itu perkara yang perlu diterima apabila mempunyai kekasih yang juga selebriti. 

“Apabila kami bersama, saya beri sepenuh perhatian dengan melakukan aktiviti hanya untuk kami berdua,” katanya. 

Walaupun pernah berlakon beberapa filem Indonesia, Keith bakal tampil dengan filem pertamanya di Malaysia, Mamak Cupcake yang akan ditayangkan Jun ini dan filem Puteri Kelip-kelip yang masih dalam proses penggambaran. 

No comments:

Post a Comment