Fuh Gempak Player

15 May 2014

Magis Pak Ajis, Parlimen Pak Jamal

Sepanjang hayatnya penuh ceria, kita tumpang gembira melihat aksi dan keletahnya. Jarang terpapar kenyataan berlaku krisis emosi antara Datuk Aziz Sattar (Pak Ajis) dengan wartawan, rakan artis mahupun peminat, kecuali rasa tidak puas hati disuarakan atau lebih tepat ‘perang dingin’ terhadap Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang memaksa beliau keluar lalu menubuhkan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia.
Berbeza situasi saya hadapi, di mana Pak Ajis yang saya hormati tiba-tiba terangsang emosinya kerana tidak puas hati dengan satu artikel yang saya tulis. 
Semuanya gara-gara berita penahanan artis dan beberapa tenaga produksi oleh polis akibat berjudi disiar di muka depan Harian Metro pada 1991. 

Tidak perlu dihurai lebar apa diluah Pak Ajis, memadai dia menyindir saya seolah-olah tulisan saya memberi gambaran pelakon kita jahat.
Foto

Situasi terjadi ketika saya diminta membuat berita susulan kejadian itu dan Pak Ajis ketika itu bersama rakan produksi duduk di sebuah gerai menghala ke pintu masuk Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) di Hulu Klang.
Lazimnya ‘lidah saya lebih laju daripada akal’ jika diprovok atau disindir artis tetapi dengan Pak Ajis, saya mendiamkan diri. Sebabnya, saya maklum Pak Ajis menghormati ayah saya dan berkawan baik dengan ibu saya. 

Masih tidak lekang di ingatan, ketika adik perempuan saya mahu dipinang orang pada awal 1990-an, kami yang ketiadaan ketua keluarga mencari-cari siapa bersedia menjadi wakil kami. Keluarga ibu dan ayah saya pula jauh, kebanyakannya menetap di Johor Bahru dan Singapura. 

Ibu saya tiada pilihan lalu menelefon Pak Ajis. Sekalipun sibuk, beliau bersetuju dan pada hari majlis, beliau datang bersama bekas Presiden Seniman, Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki) menjadi wakil keluarga kami. 

Pihak pengantin lelaki dari Paya Jaras berketurunan Minang. Kebetulan Anjang Aki berketurunan Minang dan Pak Ajis pula Boyan, membuatkan suasana majlis merisik menjadi gamat dengan gelak tawa kedua-dua keluarga. 

Dalam insiden lain, bukan untuk merendahkan atau mempertikaikan Pak Ajis, cuma saya mempersoalkan jika ada seminar, dialog atau forum mengenai Tan Sri P Ramlee, panelnya balik-balik muka Aziz Sattar. 

Walhal hubungan P Ramlee dengan Aziz Sattar sekadar pengarah dan pelakon di Singapura. Sebaik Seniman Agung itu berpindah ke Kuala Lumpur, beliau berdamping dengan ramai kenalan baru. 

Polemik itu saya tulis di kolum Jarumemas dan memeranjatkan juga apabila saya menerima panggilan dari seniwati Mariani Ismail: “Apa yang you tulis, Aziz Sattar tak agree. Tak payahlah kait-kait cerita begitu, nanti dia (Pak Ajis) tersinggung.” Sejak itu saya tidak tulis perkara yang menyinggung Pak Ajis. 

Hikmahnya, hubungan kami menjadi lebih mesra sewaktu berbual panjang dengan beliau dalam satu program Seniman di Hotel Putra, Perlis, pelbagai cerita mengenai P Ramlee dikongsi bersama saya. 

Katanya, ilmu ketuhanan yang ada dalam diri P Ramlee jarang dimiliki pengarah lain. Lalu Pak Ajis menceritakan rahsia angin 11 malam yang disebut P Ramlee boleh menyembuhkan penyakit tuan puteri dalam filem Nujum Pak Belalang. 

Melayan Pak Ajis sememangnya menghiburkan. Satu ketika, saya diundang ke malam kemuncak Akademi Fantasia 6 (AF6). Saya pergi bersama pelakon Betty Banafe tetapi pada hari kemuncak, Pak Ajis bersama isteri mahu ikut serta. 

Saya menjadi serba salah sebab tiket diberi hanya dua, pada saat akhir saya khuatir tiada tiket untuk Pak Ajis dan isterinya. Namun kata Betty, “abang jangan khuatir, muka Pak Ajis ini muka pasport.” 

Kami menaiki kereta dipandu Betty dari Bangsar, biasalah dalam kereta ada saja cerita lucu Pak Ajis. Tiba di Stadium Putra Bukit Jalil, saya berdebar juga, lepaskah Pak Ajis dengan tiada tiket. Memang benarlah muka Pak Ajis muka pasport. 

Sebaik tiba di perkarangan, pengawal keselamatan bertubuh tegap tersenyum-senyum dengan Pak Ajis. Tiba di pagar pintu masuk, beberapa pegawai Astro yang melihat kelibat Pak Ajis segera menghampirinya, lalu saya kata Pak Ajis tiada tiket. Mereka kata “tak apa” lalu membawa Pak Ajis dan isteri terus duduk di kawasan VIP. 

Kami keluar dari Stadium Putra agak lewat, biasalah selepas post party, Pak Ajis berborak-borak dengan artis muda. Bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan turut hadir di malam kemuncak AF6 yang dimenangi Stacy. 

Sebaik berjalan pulang, insiden sukar dilupakan apabila kru dan remaja di luar stadium menyakat Pak Ajis dengan pelbagai dialog lucu, antaranya “jolok motosikal ya bang...” 

Pak Ajis pula melayan mereka sambil berjalan tangan melambai-lambai ikut lenggok perempuan. Boleh dikatakan ramai kru dan remaja yang berselisih dengan kami sepanjang menuju ke kenderaan malam itu mahu bergambar dengan Pak Ajis. 

Berbanding seniman veteran seusia Pak Ajis, majoritinya tidak berminat menghadiri majlis hiburan untuk anak muda, khususnya remaja, tetapi kehadiran Pak Ajis di AF6 jelas menunjukkan beliau tiada jurang pemisah. 

Komitmen beliau dalam dunia hiburan tidak dapat ditandingi seniman lain. Dalam usia lebih setengah abad, beliau sanggup memandu lewat tengah malam menghadiri pelbagai majlis hiburan dan memandu beratus-ratus kilometer semata-mata mahu berlakon satu babak sebagai mak nyah tua dalam Sutun. 

Sebagai orang lama, di sebalik lawaknya, kata-kata Pak Ajis sarat nasihat. Satu ketika, saya diminta menjadi pengerusi dialog P Ramlee sempena Hari Seniman di Klang yang turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Joseph Salang, panelnya pula selain Pak Ajis; seniwati Zaiton; komposer, Kassim Masdor; Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah. 

Sebaik sesi kami selesai jam 11 malam, kami diminta kembali ke tempat tetamu. Saya bercadang pulang dan bertanya Pak Ajis mengapa tidak pulang kerana sudah lewat malam. Zaiton juga sudah pulang kerana ada hal tetapi dijawab Pak Ajis: “Tak boleh, ikut protokol, menteri ada lagi.” 

Pak Ajis atau nama sebenarnya Abdul Azez Sattar dilahirkan 8 Ogos 1925 di SurabayaIndonesia, meninggalkan kita Isnin lalu (6 Mei) jam 2 pagi. 

Dilahirkan sebagai anak ketiga daripada 10 beradik, Allahyarham Aziz Sattar yang pernah bernikah lima kali (hanya tiga sering diperkatakan, Siti Rumia, Dayang Sofia dan Hashimah Delan) meninggalkan tujuh anak, 20 cucu dan 10 cicit. 

Seharusnya kita terhutang budi kepada Pak Ajis. Bukan saja lawaknya menjadi terapi tatkala kita dirundung sepi, malah hakikatnya ketika filem Melayu hidup segan mati tidak mahu, Pak Ajis bagai magis memberi nafas baru melalui filem arahannya Keluarga Si Comat terbitan Sabah Film (1975). 

Melalui filem itulah, tumbuh bagai cendawan syarikat filem tempatan yang membawa ke projek penswastaan drama hingga kita menikmatinya kini. 

Selang sehari, arena hiburan tanah air berduka dengan kehilangan personaliti Jamal Mohamed dalam usia 75 tahun. Kelibat Jamal yang mesra dipanggil Pak Cik Jamal di layar perak kurang diperkatakan, sekalipun beliau pernah membintangi filem Anak Manja terbitan Merdeka Studio. 

Di usia muda, Jamal pernah mencuba nasib mencipta nama sebagai pelakon di Singapura tetapi tiada tuah, apatah lagi imej pelakon pendek ketika itu sinonim dengan Ibrahim Pendek (Allahyarham) yang sukar ditandingi. 

Ibarat rezeki tidak ke mana, Jamal menukar haluan ke radio dan TV, khususnya RTM. Ternyata program Mini Parlimen pada era 1980-an melonjakkan namanya menjadi personaliti hebat. 

Pak cik Jamal yang menghidap penyakit ‘ankylosing spondylitis’ sejak 14 tahun lalu (menyebabkan tulang belakangnya membengkok hingga beri kesan pada paru-paru) meninggal dunia di Hospital Putrajaya, jam 11.07 pagi. 

Allahyarham meninggalkan isteri Salmiah Serat, 68, tiga anak serta sembilan cucu. Sama ada Pak Ajis dan Pak Cik Jamal, kedua-duanya memahatkan nama mereka di kelas tersendiri di arena seni tanah air. 

Yang pasti, kita terhutang budi kepada kedua-dua insan seni ini. 

No comments:

Post a Comment