Fuh Gempak Player

15 May 2014

Sabhi utama keluarga

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Cinta Sesung­guhnya, Sabhi Saddi sentiasa meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam hidupnya. Bidang seni diceburi memberi kelebihan apabila dapat menghabiskan banyak masa dengan insan tersayang.
Menjayakan persembahan pentas tidak menuntut masa lama dan kalau pun bekerja di luar Kuala Lumpur, dia akan membawa anak dan isteri bersama. 
Hasil perkahwinan dengan Rosi Aswani Abdul Razak, Sabhi dikurniakan anak perempuan, Sofea Reesya, 17 bulan, manakala anak lelaki, Muhammad Razi Aiman Dariwish, 5, dari perkahwinan pertama. 

Jika terikat dengan penggambaran drama atau telefilem, masa untuk keluarga terhad, tetapi dia bersyukur kerana isterinya memahami. Malah, Rosi Aswani sentiasa menyokong langkahnya mengukuhkan nama persada seni tanah air.
Foto

Sabhi bersyukur dikurniakan isteri dan anak yang baik. Katanya, mereka amanahnya dan sentiasa jadi keutamaan.
“Insya-Allah, September depan saya akan menimang zuriat ketiga. Ikut jangkaan doktor, mungkin 2 September dan jika lahir pada tarikh itu, bayi saya akan berkongsi sambutan hari jadi dengan bapa saya. Jika lahir pada 4 September, dia akan berkongsi ulang tahun dengan saya. 

“Lebih menggembirakan apabila kemungkinan besar bayi yang bakal lahir itu perempuan. Soal jantina bukan masalah buat saya dan isteri kerana yang lebih penting bayi itu sihat dan sempurna,” katanya. 

Sabhi yang mula dikenali menerusi lagu Nadiku bahagia melihat anak membesar di depan mata. Katanya, Reesya sudah pandai berjalan dan membuat pelbagai kerenah. 
“Melihat dia membesar, buat saya teringin ada anak kecil lagi. Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan saya. Razi dan Reesya akan dapat adik. 

“Seronok ada anak kecil, gelagat mereka buat saya mahu pulang ke rumah secepat mungkin. Jika ada persembahan atau penggambaran di luar Kuala Lumpur, saya akan cuba balik hari itu juga,” katanya. 

Bercerita lanjut perihal Reesya, Sabhi berkata, puterinya sangat manja, malah akan mencarinya setiap kali mahu tidur. 

“Reesya anak manja. Kalau tidur, dia akan pastikan saya ada di sebelah. Dia dapat rasa kalau saya tidak ada di sebelahnya dan akan bangun. 

“Biasanya jam 6 pagi saya ke surau dan bila pulang, dia sudah bangun. Itu yang buat saya tidak sampai hati berjauhan dengannya,” katanya yang akan menyambut ulang tahun perkahwinan kedua pada 18 Julai ini

Mencari kelainan, Sabhi yang sebelum ini terkenal dengan lagu balada bakal tampil dengan single baru berentak pop R&B. Lagu Percuma disimpan kemas sejak dua tahun lalu dan baru kini mahu dirakam. 

“Awal 2012, Pempy Noor hasilkan lagu Cinta Sesungguhnya dan Percuma untuk saya. Pada masa sama, saya ada satu lagi lagu yang mahu dirakam, oleh itu Cinta Sesungguhnya didahulukan dan Percuma saya simpan. Cukuplah tampil dengan satu lagu dulu. 

“Percuma berbeza daripada lagu yang pernah saya persembahkan kerana saya mahukan sesuatu yang segar untuk 2014,” katanya. 

Kata Sabhi, dia kini nampak hala tuju muziknya dan mencari komposer sesuai untuk buat susunan lagu. Lagu itu dijangka dipasarkan selepas Aidilfitri nanti. 

Bernaung di bawah syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL), Sabhi berkata, perjalanan kariernya kini lebih teratur. 

Dia tidak lagi kusut memikirkan banyak perkara dalam satu masa kerana dengan adanya LOL, dia hanya perlu fokuskan perhatian terhadap persembahan dan rutin tugas lain yang ada dalam jadual. 

Katanya, sebelum ini segala urusan dilakukan sendiri hingga ada ketikanya hilang fokus apabila banyak perkara diuruskan dalam satu masa. 

“Selepas bernaung di bawah LOL, nampak perbezaan ketara apabila segala urusan jadi lancar. Beberapa perancangan sedang diatur pengurusan, bukan saja berkaitan bidang nyanyian tetapi juga beberapa cabang seni lain, termasuk lakonan. 

“Saya juga tak perlu lagi berunding dengan penganjur persembahan kerana semuanya diuruskan pengurusan. Sampai masa dijanjikan, saya hanya hadir untuk menjayakan persembahan itu dan tidak perlu fikir hal lain,” katanya. 

Meskipun lebih cenderung menyanyi, dia yang sebelum ini pernah menjayakan beberapa drama dan telefilem, tidak menolak tawaran berlakon jika ada kelapangan.


No comments:

Post a Comment